Nuffnang Ads

Saturday 9 May 2015

Bagaimanakah Cara Rasulullah SAW Mengawal Kemarahan?


بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

Rasulullahﷺ  menunjukkan beberapa panduan kepada kita bagaimana menguruskan sifat marah. Rasulullahﷺ  sentiasa menasihati para sahabat agar berwaspada dengan sifat marah..

Jangan Marah.
Seorang sahabat Abu Hurairah r.a. telah meminta Bagindaﷺ  menasihatinya. Rasulullahﷺ  bersabda; “Jangan marah”. Larangan ini diulang oleh Rasulullahﷺ  beberapa kali. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Malik dan Tirmizi).
Begitu juga dengan seorang lagi sahabat yang bernama Abdullah bin Amru. Beliau bertanya Rasulullah ﷺ tentang sesuatu yang boleh menyelamatkan dirinya daripada kemurkaan Allah. Baginda ﷺ  menjawab perkara yang sama iaitu, “Jangan Marah”..
Dalam suatu kejadian, seorang sahabat meminta nasihat daripada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.” Sahabat lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Rasulullah ﷺ: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat yang lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka sabda Rasulullah ﷺ, “Janganlah marah!”
.
Mohon Perlindungan Kepada Allah
.
Dari Sulaiman bin Surad r.a., katanya: “Saya duduk bersama Rasulullah dan terdapat dua orang yang saling bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang dari keduanya itu telah merah padam mukanya dan membesar urat lehernya, kemudian Rasulullah bersabda:“Sesungguhnya aku mengetahui suatu ucapan yang apabila diucapkannya, tentulah hilang apa yang ditemuinya (iaitu kemarahannya), iaitu andai kata dia mengucapkan: “A’udzu billahi minasy syaithan,” tentulah lenyap apa yang ditemuinya itu.” Orang ramai lalu berkata padanya (orang yang merah padam mukanya tadi): “Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Lelaki itu menjawab: “Adakah aku gila (sehingga aku perlu meminta perlindungan daripada syaitan) ?” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
.
marah
   Siapakah Orang Yang Paling Kuat
.
Suatu ketika, Rasulullahﷺbertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullahﷺ  lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yangbanyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya kita menahan diri daripada  sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah.
Rasulullahﷺ  menunjukkan ‘Qudwah’ yang baik ketika sedang marah. Dalam satu kejadian, seorang Arab Badwi telah menarik pakaian Rasulullahﷺ  sehingga meninggalkan kesan merah pada leher Baginda.  Lelaki Arab tersebut menuntut agar Rasulullahﷺ  memberikan wang kepadanya. Rasulullahﷺ  hanya tersenyum dan mengarahkan seorang sahabat menunaikan permintaan lelaki tersebut.
..
Rasulullah  Juga Manusia Biasa
.
Sebagai manusia biasa, Rasulullah ﷺ juga berasa marah. Namun Rasulullah ﷺ tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila Baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah Baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya..
Firman Allah سبحانه وتعالى:
وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(urah At-Taghabun ayat 14).
.
Rasulullahﷺ  menjanjikan balasan yang baik di akhirat kepada sesiapa yang berjaya menahan marahnya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Baginda bersabda;“Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melempiaskan marahnya, Allah سبحانه وتعالى  akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang ia sukai di syurga.”

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sikap marah adalah: 
.
1. Rasa bangga diri (sombong)
2. Takjub kepada peribadi sendiri
3. Suka bergurau senda yang ber lebihan dan melampaui batas
4 Suka bercakap perkara sia-sia
5. Suka membuat fitnah
6. Suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara
7. Berlaku khianat
8. Tamak kepada harta dan pangkat
9. Tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi
10. Dengki dan irihati. 

Marah Terpuji

.
Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat.
Rasulullah  mengajar dalam sabdanya: “Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.” 
.
Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah. Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya. 
.
Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah. 

Cara Mengawal emosi marah : Banyakkan Minum Air Kosong

Tiga langkah bertenang yang pertama adalah; banyakkan minum air kosong. Jika pakar kesihatan menyarankan kita supaya minum air lapan gelas sehari, seboleh mungkin capailah angka ini.
Mengapa?
Kerana air memang akan menenangkan dan menyejukkan. Syaitan dijadikan daripada api, maka siramlah api yang berada dalam badan dengan air.
Jangan lupa baca Bismillahirrahmanirrahim setiap kali hendak minum air
Selain itu, jika dapat berwudhuk adalah lebih baik.
Mohon kepada Allah agar api kemarahan yang sedang menyala di dalam diri menjadi kecil dan akhirnya terpadam. Biar terhapus emosi marah tersebut.

Mengawal emosi marah : Memakai Pewangi Setiap Masa

Kedua, amalkan memakai pewangi setiap masa.
Wangikan tubuh dan kawasan persekitaran. Kewangian akan membawa emosi marah kembali stabil manakala bau yang busuk pula boleh menyebabkan kita cepat marah.
Tanpa sebarangan wangian memanglah tiada apa – apa, tetapi jika wangi dapat merangsang diri untuk lebih tenang dan bijaksana

Mengawal Emosi Marah : Amalkan Teknik “Pause”

Pernah dengar teknik ni?
Konsep pause adalah cara yang baik bagi mengurus kemarahan. Konsep ini mendekatkan kita kepada tindakan secara rasional.
Menjadi penyabar semasa marah adalah jalan terbaik. Tetapi kadangkala kita lupa sebenarnya bergerak ke satu kesabaran itu memerlukan kita pantas merasionalkan diri kita.
Oleh itu, konsep “pause” boleh digunakan bagi membantu diri menjadi rasional semasa marah.
cara kawal kemarahan
1. Mengubah Posisi - Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring.” (Riwayat Muslim)

2. Berwuduk - Rasulullah s.a.w bersabda: “Marah itu datangnya daripada syaitan, dan syaitan itu diciptakan daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk” (Hadis Riwayat Abi Daud) .

3. Minum air.

4. Mendiamkan diri ketika marah.. banyakkan istighfar di dalam hati.

5. Berlindung kepada Allah daripada syaitan.


6. Meluahkan perasaan dan masalah dalam keadaan masa dan tempat sesuai.

7. Berfikiran positif.

8. Belajar menyampaikan kemarahan secara positif dan terhormat; elakkan daripada memekik atau bertindak garang.

9. Bawa bertenang seperti menarik nafas.

10. Senyum kerana senyuman mampu meredakan tekanan.
Sabda Rasulullah s.a.w dalam satu yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bermaksud :

"Jangan kami memutuskan silaturahim dan jangan kamu bergaduh dan jangan kamu berhasad dengki dan jadilah hamba Allah s.w.t yang bersaudara."

Kesan negatif dari perasaan marah adalah lebih banyak dari positif. Semoga kita dapat mengurangkan dan mengawal perasaan marah sebelum terlewat. 
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
copy paste syafiqolbu

link within

Disclaimer...

Assalamualaikum wbt..cik ann suka menulis n cari artikel tentang pregnancy..breastfeeding..n parenting.. Entry2 dlm blog ini just sebagai rujukan..sorry kalau ada post yg tidak dikredit pada tuan tanah..andai ada yang bercanggah harap diperbetulkan..terima kasih..ikhlas dari cik ann~